Sabah harus urus import berasnya sendiri - Dr Jeffrey


SIMON BJ2023/09/06 04:12
Follow

Sabah mahu bebaskan diri daripada kekangan monopoli satu entiti

Sabah harus urus import berasnya sendiri - Dr Jeffrey

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mencadangkan supaya Sabah mengurus import berasnya sendiri.


Jeffrey membuat cadangan itu susulan pengguna di seluruh Sabah bimbang kerana harga beras putih import dijangka meningkat sehingga 36 peratus seperti yang diumumkan oleh Bernas.


“Bernas mesti telus dalam mekanisme penetapan harga dan tahap stok berasnya. Orang ramai berhak mengetahui...


Katanya, sudah tiba masanya untuk Sabah membebaskan diri daripada kekangan monopoli satu entiti yang telah lama membentuk pasaran tempatan kita.


“Saya percaya perubahan ini boleh merangsang persaingan dan membawa kepada harga beras yang lebih stabil, dan mungkin lebih rendah, bagi pengguna di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Timbalan Ketua Menteri itu berkata, kenaikan harga yang begitu ketara bukan sahaja mengganggu kestabilan belanjawan isi rumah tetapi juga menjejaskan kesejahteraan keluarga berpendapatan rendah.


“Bernas mesti telus dalam mekanisme penetapan harga dan tahap stok berasnya. Orang ramai berhak mengetahui bagaimana harga ditentukan dan apakah langkah yang diambil untuk menstabilkan pasaran,” katanya.


Jeffrey mendedahkan bahawa kementeriannya telah berusaha untuk mengurangkan kebergantungan Sabah kepada beras import melalui pelbagai projek di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Pertanian membentuk satu daripada tiga tunjang utama SMJ. Kami berhasrat untuk meningkatkan tahap sara diri Sabah untuk pengeluaran beras kepada sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang 2030,” katanya.


Jeffrey optimis, itu dapat dicapai melalui pengaktifan Lembaga Beras dan Padi Sabah bagi membantu pesawah meningkatkan pengeluaran padi melalui pemulihan sawah terbiar dan menaik taraf sistem pengairan sedia ada.


“Projek-projek ini dijangka membawa faedah jangka panjang dan akan melindungi Sabah daripada turun naik harga beras global," ujarnya.

Share - Sabah harus urus import berasnya sendiri - Dr Jeffrey

Support this user by sending bitcoin - Learn more

Follow

0 comments

Be the first to comment!

This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.