Kerajaan Sabah perkenal dua inisiatif baharu untuk tingkat kesejahteraan rakyat


SIMON BJ2023/09/02 14:56
Follow

Program Santuni Komuniti dan Agihan Produk Pek Makanan Segera.

Kerajaan Sabah perkenal dua inisiatif baharu untuk tingkat kesejahteraan rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkenalkan dua lagi inisiatif baharu bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dua inisiatif itu adalah Program Santuni Komuniti dan Agihan Produk Pek Makanan Segera.


Menerusi Program Santuni Komuniti, ia akan membantu meningkatkan penghasilan dan penjualan produk usahawan dalam kalangan ibu tunggal dan wanita B40 manakala, bagi pengagihan Produk Pek Makanan Segera pula akan memberi manfaat kepada mangsa-mangsa bencana alam yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS).


Beliau berkata, itu antara pendekatan yang diambil kerajaan dalam membantu rakyat yang tidak berkemampuan di Sabah. Langkah itu selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri untuk membudayakan masyarakat prihatin dan merakyatkan perkhidmatan yang cemerlang.


Menurut beliau, Kerajaan Negeri kekal komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan program di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).


Dalam pada itu, program-program lain yang dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan seperti Program Homeward untuk menyantuni rakyat dalam kategori sakit terlantar dan Program Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan Pra- Sekolah dan Tadika.


“Kalau bukan kita yang menjalankan kerja-kerja kebajikan siapa lagi yang akan membantu mereka..."


“Kita juga meneruskan Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita untuk memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40,” katanya semasa Majlis Makan Malam Amal Sinar Madani SMJ, di sini, malam tadi.


Hajiji turut menggesa sektor korporat dan individu perseorangan yang berkemampuan untuk terus menyokong majlis amal seupama ini bagi membantu golongan berkeperluan terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.


“Kalau bukan kita yang menjalankan kerja-kerja kebajikan siapa lagi yang akan membantu mereka. Inilah sikap Sabah Madani yang harus kita tanam sebagai benih prinsip hidup kita di Sabah.


“Saya berharap Yayasan Sinar Kasih ini dapat terus membantu jentera kerajaan untuk pembangunan ummah..."


“Sesungguhnya, majlis makan malam amal ini amat bermakna untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam meneruskan kelangsungan hidup pada hari ini, terutama selepas pandemik Covid-19.


“Dalam kita masih mampu untuk membeli makanan dan barang keperluan keluarga, masih ada insan-insan di luar sana yang memerlukan pertolongan bantuan daripada kita,” ujarnya.


Beliau turut merakamkan tahniah kepada Yayasan Sinar Kasih serta rakan kerjasamanya iaitu PEWASA dan SEAMEX kerana berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Amal berkenaan.


“Saya berharap Yayasan Sinar Kasih ini dapat terus membantu jentera kerajaan untuk pembangunan ummah di negeri ini,” katanya.

 

Share - Kerajaan Sabah perkenal dua inisiatif baharu untuk tingkat kesejahteraan rakyat

Support this user by sending bitcoin - Learn more

Follow

0 comments

Be the first to comment!

This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.