
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hadir bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi sokongan kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan di tiga pusat penamaan calon pagi ini.
Turut bersama ialah Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.
Lokasi pertama ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu yang menjadi pusat penamaan calon bagi DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon bagi kerusi Sungai Tua dan Hulu Kelang manakala Gombak Setia diwakili Barisan Nasional (BN).
Ketiga-tiga pemimpin kemudiannya singgah di pejabat Majlis Perbandaran Selayang yang merupakan pusat penamaan bagi DUN Taman Templer, Kuang dan Rawang. Ketiga-tiganya diwakili masing-masing oleh calon Keadilan, Amanah dan BN.
Hentian terakhir ialah Dewan Dato’ Ahmad Razali iaitu pusat penamaan bagi DUN Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya yang diwakili oleh calon PH.
Hari mengundi bagi pilihan raya negeri membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu ialah pada 12 Ogos depan.
0 comments
Be the first to comment!
This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.