PPM perlu sebarkan polisi pembangunan kepada rakyat: Hajiji


SIMON BJ2023/07/26 11:18
Follow
PPM perlu sebarkan polisi pembangunan kepada rakyat: Hajiji

Hajiji menyaksikan majlis angkat sumpah oleh 14 PPM baharu di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.


KOTA KINABALU: Ketua Menteri mengingatkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) yang dilantik agar menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin membantu menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, setiap PPM bertanggungjawab memastikan maklumat sampai kepada akar umbi terutama pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang dua setengah tahun ini.

Katanya, jawatan yang diberikan itu bukanlah satu keistimewaan sebaliknya membawa tanggungjawab besar untuk mereka bekerja rapat dengan wakil rakyat masing-masing dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kamu mempunyai peranan penting dan tanggungjawab amat besar. Lantikan ini bukan satu keistimewaan. Saya mahu setiap PPM bekerja rapat dengan wakil rakyat memberikan khidmat kepada rakyat.

“Kita tidak mahu sesiapa pun buat perkara dengan sesuka hati, tetapi anda mesti tunaikan tanggungjawab dengan tekun.

“PPM mesti menjelaskan kepada rakyat tentang pelan pembangunan kerajaan terutama sekali Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan upacara mengangkat sumpah 14 PPM yang baru dilantik di Menara Kinabalu hari ini.

Hajiji menyaksikan majlis angkat sumpah oleh 14 PPM baharu di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.


Hajiji berkata, amat mustahak untuk semua pihak bekerjasama memandangkan Kerajaan Sabah sedang berusaha menghapuskan kemiskinan di negeri ini.

“Dengan tempoh hanya dua tahun lagi sebelum penggal berakhir, PPM berada di posisi untuk berkhidmat kepada rakyat dan dalam proses itu membantu wakil rakyat masing-masing memenangi semula kerusi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Kesemua 14 PPM yang mengangkat sumpah di depan Ketua Menteri ialah Abd Rashid Saidin (UPPM HQ), Muhammad Tasan (Bengkoka), Sharif Kadah Sharif Osman (Bandau), Saikom Watis (Kadamaian), Rosita Ganggang (Inanam), Alex Tan Liang Boon (Likas), Lee Li Mei (Api-Api), Chin Thau Kwong (Luyang), Shamsur Zulkifli (Petagas), Cyril Gerald Liew (Kapayan), Ana Maria Bernadus (Limbahau), Max Million Lee Yun Vui (Tanjung Papat), Juslee Arpaih (Sukau) dan Mohamad Latip Katik (Kunak).

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Abidin Madingkir serta Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Datuk Awang Kadin Tang.

Share - PPM perlu sebarkan polisi pembangunan kepada rakyat: Hajiji

Follow SIMON BJ to stay updated on their latest posts!

Follow

0 comments

Be the first to comment!

This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.