Isu 40 peratus modal fitnah Warisan


SIMON BJ2023/07/19 10:25
Follow
Isu 40 peratus modal fitnah Warisan

KOTA KINABALU: Sejak gagal dalam cubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang bersama segelintir ahli UMNO pro-Datuk Bung Moktar Radin pada Januari tahun ini, Warisan nampaknya semakin giat menabur fitnah bagi menanam sifat benci dalam fikiran rakyat terhadap kerajaan.

Politik fitnah yang dibawa Warisan ini jelas apabila pemimpin-pemimpinnya bersilih ganti mengeluarkan kenyataan kononnya Kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengabaikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

Dalam sistem komunikasi dua hala yang realistik, jika satu pihak boleh menimbulkan tuduhan atau persoalan, maka mereka perlulah mendengar apa jawapan yang diberikan oleh pihak yang dituduh.

Tetapi dalam soal poltik fitnah Warisan, mereka tidak memerlukan jawapan, mereka cuma perlu berterusan membuat tuduhan menggunakan setiap pemimpin parti yang ada kerana matlamat mereka ialah apabila rakyat termakan hasutan, lebih mudah untuk menjatuhkan kerajaan.

Sebab itulah, walau apa sekalipun jawapan yang diberikan, Warisan tidak akan berhenti daripada terus menyebar fitnah tersebut waima penerangan yang diberikan itu berasaskan kepada fakta dan kebenaran.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun sekali lagi tampil menafikan fitnah yang dibuat dengan penegasan bahawa tuntutan 40 peratus tidak pernah dihentikan walaupun Kerajaan Sabah telah menerima pemberian khas daripada Persekutuan.

“Perlu dijelaskan secara menyeluruh sebagai respon kepada tuduhan tidak berasas kononnya Kerajaan Sabah telah melepaskan hak-hak yang ada disebabkan pemberian khas itu.

“Saya menegaskan Kerajaan Sabah tidak pernah melepaskan hak-hak di dalam Perlembagaan walaupun ada langkah untuk penyelesaian interim pada 2022.

“Oleh itu penerimaan bayaran interim RM125.6 juta telah ditegaskan tidak akan prejudis terhadap semua hak-hak Sabah.

“Secara spesifik berpandukan kepada hak-hak Sabah untuk bergantung kepada formula sedia ada dan persetujuan untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, syarat kepada perjanjian interim itu ialah Sabah berhak menuntut apa yang belum ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula Perlembagaan dalam setiap lima tahun sejak 1975.

Tegasnya lagi, jika kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan, maka Sabah akan menggunakan penilai bebas untuk melihat perkara itu seperti ditetapkan dalam Artikel 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami sentiasa menegaskan keputusan ini selari dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27 Februari 1963 dan persetujuan untuk perkongsian keuntungan antara Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“Tiada sesiapa boleh menafikan fakta sejarah ini. Kerajaan negeri akan sentiasa menegakkan hak-hak Sabah di dalam Perlembagaan. Kami amat menyedari apa yang dipertaruhkan dan akan melakukan yang terbaik memenuhi harapan tinggi rakyat,” katanya. - Borneo Gazette

Share - Isu 40 peratus modal fitnah Warisan

Follow SIMON BJ to stay updated on their latest posts!

Follow

0 comments

Be the first to comment!

This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.