Sabah di landasan tepat tuntut hak negeri


SIMON BJ2023/07/19 10:01
Follow

KOTA KINABALU: Peningkatan dalam pemberian geran khas sebanyak RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan adalah petunjuk jelas Kerajaan Sabah berada di landasan tepat untuk mendapatkan semua hak-hak negeri seperti terkandung dalam Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan dibuat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

“Yakinlah bahawa kami tidak akan berhenti sehinggalah Sabah mendapat apa yang selayaknya seperti termaktub di dalam MA63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan pendirian Kerajaan Sabah yang tidak akan melepaskan tuntutan terhadap 40 peratus hasil negeri.

“Apa yang diumumkan oleh Fadillah ialah penyelesaian interim, rundingan masih berjalan melalui jawatankuasa berasingan untuk menentukan dan memuktamadkan formula untuk geran khas tahun ini kepada kedua-dua negeri Borneo,” katanya.

Katanya, Sabah akan meneruskan tuntutan geran khas itu berpandukan Artikel 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV dalam Jadual Kesepuluh, serta Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan, yang menyediakan formula dan kajian semula hak 40 peratus hasil bersih Sabah yang diambil dari negeri ini.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal semalam, Fadillah mengumumkan Sabah dan Sarawak akan menerima geran khas RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan tahun ini.

Geran khas sebanyak RM300 juta untuk Sabah itu merupakan peningkatan sebanyak RM40 juta berbanding geran sebanyak RM260 juta yang diumumkan Putrajaya Januari lalu dan akan dibayar secepat mungkin. - Borneo Gazette


Share - Sabah di landasan tepat tuntut hak negeri

Follow SIMON BJ to stay updated on their latest posts!

Follow

0 comments

Be the first to comment!

This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.