Pameran Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2023

Chapter 2 - Pameran Hari Malaysia wajar diadakan setiap tahun: Christina

SIMON BJ2023/09/14 06:57
Follow

Christina (dua kanan) menekan butang sebagai tanda simbolik pelancaran Pameran Hari Malaysia ke-60 2023.


KOTA KINABALU: Golongan generasi muda digalak melawat gerai mengenai sejarah Borneo Utara (kini Sabah) dan Malaysia supaya mereka mengetahui dan memahami sejarah kelahiran Malaysia.

Dan, bagaimana Sabah mencapai Kemerdekaan pada 1963, kemudiannya membentuk Persekutuan Malaysia, bersama-sama dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata demikian selepas merasmikan Pameran Hari Malaysia ke-60 2023 bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” di Penampang dekat sini semalam (12 Sept. 2023).

Liew mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk melancarkan acara itu di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC).



Pameran itu berlangsung sehingga 16 Sept (dari 10 pagi hingga 9 malam setiap hari), mengetengahkan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) kerajaan negeri, selain peranan, fungsi dan program 10 kementerian negeri.

Katanya, pameran tersebut akan memberi faedah besar kepada rakyat mengenai sejarah dan peristiwa yang membawa kepada pembentukan negara.

Oleh yang demikian, tambahnya, Pameran Hari Malaysia perlu diadakan setiap tahun sebagai memperingati kelahiran Malaysia.

Pameran itu adalah inisiatif pihak Jabatan Arkib Negeri dan semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan negeri Sabah.