
KOTA KINABALU: Perkara berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk pilihan raya negeri yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini kerana fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan PH Sabah.
"Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi 'Langkah Kinabalu' pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan oleh Parti Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nizam berkata, sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta.
Nizam merujuk kepada kenyataan media Datuk Yong Teck Lee berkenaan dengan cadangan partinya supaya GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.
Katanya, kenyataan Yong itu merupakan pandangan peribadi beliau dan parti SAPP.
"Kita menghormati pandangan beliau ini namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif," katanya.
0 comments
Be the first to comment!
This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.