Guna UAV mantapkan operasi ESSCOM – Hajiji


SIMON BJ2023/07/28 01:05
Follow
Guna UAV mantapkan operasi ESSCOM – Hajiji

Abidin menyampaikan cenderahati kepada Mugu dalam program di sini hari ini.


KOTA KINABALU: Pesawat udara tanpa pemandu (UAV)) dicadang digunakan bagi memantapkan operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penggunaan aset seumpama itu dapat memaksimumkan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan dalam mendepani sebarang ancaman di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Beliau berkata, dengan kawasan perairan yang luas merangkumi 10 daerah bermula dari Kudat di utara Sabah hingga ke Sandakan dan Semporna di pantai timur, menjadikan operasi pemantauan di ESSZONE amat mencabar.

“Berikutan itu, penggunaan UAV bukan saja mengurangkan risiko keselamatan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas tetapi juga meningkatkan domain udara dalam melaksanakan pengawasan di pantai timur Sabah,” katanya dalam ucapan Majlis Malam Penghargaan Media ESSCOM 2023, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa ESSZONE yang bertanggungjawab terhadap ESSCOM berkata, penggunaan aset dan teknologi baharu seperti UAV dapat memperhebatkan lagi kawalan keselamatan di Sabah khususnya di ESSZONE.

Katanya, ia membantu memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di sempadan dan perairan negara bagi menangani sebarang keadaan atau isu yang tidak diingini.

Sementara itu, Hajiji berkata atas keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan anggota ESSCOM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti kuarters ESSCOM di Lahad Datu.

Mengulas kes tuntutan Sulu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi The Hague yang memihak kepada Malaysia baru-baru ini disifatkan sebagai kemenangan besar kepada Malaysia dan Sabah khususnya.

“Ini membuktikan Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti berusaha melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.

“Demikian juga Kerajaan Negeri Sabah, kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak cuba mencabul hak dan kedaulatan negeri ini,” katanya.

Dalam hal lain, Hajiji menggesa pengamal media di Sabah agar terus mendidik masyarakat melalui penulisan berita untuk menjadi warga yang cintakan negara dan memiliki jati diri tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, lebih-lebih lagi Sabah.

“Hakikatnya, tiada siapa boleh menafikan kepentingan media dalam mendidik masyarakat melalui penulisan di media masa.

“Kata pepatah ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’ amat signifikan kerana melalui penulisan, media dapat mengubah pemikiran masyarakat, malah kekuatan mata pena boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara,” katanya.

Jelasnya, janji Kerajaan Perpaduan memberikan kebebasan media adalah suatu impian yang sedang dilaksanakan melalui cadangan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, semakan semula Akta Anti Berita Tidak Benar dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Katanya, ia menjadi cerminan kepada komitmen dan keseriusan kerajaan mewujudkan persekitaran media yang bebas menyalurkan maklumat berwibawa kepada rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata, banyak perkara yang perlu ditimbang tara sebelum merealisasikan impian itu terutama ledakan maklumat akibat kemajuan teknologi yang mengubah cara dan budaya pemikiran anak muda.

“Kita tidak mahu maklumat-maklumat yang tidak benar mempengaruhi anak-anak muda kita.

“Justeru, untuk menangani masalah ini negara memerlukan satu sistem yang mengawal selia kandungan media supaya hanya maklumat yang berkredibiliti, tepat dan dipercayai saja sampai kepada anak muda ini.

“Semoga impian kebebasan media ini akan dapat direalisasikan pada masa hadapan,” katanya.

Share - Guna UAV mantapkan operasi ESSCOM – Hajiji

Follow SIMON BJ to stay updated on their latest posts!

Follow

0 comments

Be the first to comment!

This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.