Kerajaan pertimbang anugerah pingat


SIMON BJ2023/07/26 06:42
Follow

Buat wartawan dan NGO yang terlibat misi bencana

Kerajaan pertimbang anugerah pingat

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengiktiraf wartawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi kemanusiaan dan bencana di luar negara dengan menganugerahkan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan kepada mereka.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pingat itu kini hanya diberikan kepada pasukan petugas keselamatan negara yang menyertai misi bencana di Turkiye pada Februari lalu.

"Kami ada menerima cadangan itu dan akan menelitinya kerana mereka (wartawan dan NGO) juga terlibat dalam misi-misi yang diluluskan oleh kerajaan. Sekiranya ada butiran dan maklumat lanjut mengenainya, kami akan maklumkan kemudian," katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Turkiye, pada Selasa (25/07/2023).

Beliau berkata, kerajaan juga akan mewartakan pingat itu sebagai Pingat Khas Persekutuan pada masa depan untuk menghargai jasa, bakti dan pengorbanan petugas penyelamat yang terlibat dalam misi bencana di luar negara.

"Pingat ini pertama kali diwujudkan oleh Kerajaan Perpaduan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 16 Februari lalu. Secara prinsipnya, pingat ini sudah dipersetujui untuk diwartakan dan kini sedang diteliti oleh bahagian istiadat (Istana Negara) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.

Tambah beliau, selepas diwartakan kelak, setiap petugas keselamatan yang ditugaskan bagi misi bencana akan menerima elaun harian sebanyak RM100 sehari.

Share - Kerajaan pertimbang anugerah pingat

Follow SIMON BJ to stay updated on their latest posts!

Follow

0 comments

Be the first to comment!

This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.