
SUKAU: Parti Warisan selama ini bermegah seolah-olah hanya pentadbiran mereka yang mampu memberikan geran tanah kepada rakyat, namun perkara itu sebenarnya sudah menjadi lumrah kepada mana-mana kerajaan yang memerintah demi manfaat rakyat.
Sikap suka menunjuk-nunjuk Warisan itu bagaimanapun bolehlah dihentikan selepas Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan bahawa tradisi memberikan tanah kepada rakyat yang layak menerimanya bukanlah luar biasa sebaliknya tanggungjawab yang perlu diteruskan sampai bila-bila.
Atas sebab itulah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini hadir di Kinabatangan bagi memastikan sebanyak 344 penduduk di Sukau dan Lamag menerima geran tanah masing-masing yang telah dipohon sejak sekian lama.
Ini bukanlah kali pertama Hajiji menyerahkan geran tanah kepada rakyat, sebaliknya beliau pada tahun lalu turut menyerahkan sebanyak 206 geran tanah kepada penduduk di Pitas.
Bagaimanapun, pemimpin Warisan dalam ceramah mereka sentiasa mengungkit kononnya geran tanah hanya diberikan kepada rakyat Sabah semasa pemerintahan Warisan selain turut menuduh GRS merampas tanah rakyat.
Mereka cuba mengaburi mata rakyat daripada hakikat bahawa Kerajaan GRS turut melakukan perkara sama apatah lagi Hajiji telah berkali-kali menegaskan bahawa kepentingan rakyat merupakan keutamaan pentadbirannya tanpa kompromi.
Dalam penyerahan hari ini, kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Sukau, Kg. Sungai Teneggang, Kg. Bukit garam, Kg. Sungai Takala, Kg. Usaha Jaya dan Kg. Sinar jaya.
Daripada 344 geran tanah itu, sebanyak 141 adalah geran tanah hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan 203 geran dari proses permohonan tanah biasa.
Sementara itu, di majlis yang sama Hajiji turut menyerahkan Warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri Kampung Litang, Sukau seluas 82.3 hektar (203.4 ekar) daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew kepada Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Abdul Manap Abd. Ruhim.
Dalam ucapannya di majlis penyerahan itu, Hajiji menjelaskan bahawa pemberian geran tanah telah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu lagi, malah di Kinabatangan kerja-kerja pengukuran tanah telah bermula sejak 2011.
Justeru katanya, Warisan hanya menabur fitnah apabila mendakwa semua usaha pemberian geran tanah hanya dilakukan parti itu ketika memerintah Sabah selama dua tahun.
“Pengukuran tanah ini telah dilakukan sejak 2011, dulu Warisan kata ini perubahan mereka, ini bohong kerana telah mula dilakukan pada 2011 lagi, saya cakap ini supaya rakyat tahu perkara sebenar, dulu mereka cakap ini adalah hasil usaha mereka itu tidak betul.
“Dua tahun setengah jadi kerajaan apa mereka buat? Tiada hala tuju tetapi kalau cakap fitnah boleh tahan, tidak tahu berapa besar dosa membuat fitnah,” tegas beliau.
0 comments
Be the first to comment!
This post is waiting for your feedback.
Share your thoughts and join the conversation.