Muktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan: Hajiji


SIMON BJ2023/08/02 00:59
フォロー
Muktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan: Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan mengenai penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada Kerajaan Negeri seperti yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Beliau yang menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu berkata, dengan mempunyai lebih autonomi akan memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.


Katanya, penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan, akan lebih memudahkan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan di samping pelantikan dalam perjawatan perguruan, sepertimana yang diharapkan oleh rakyat negeri ini.


“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera Kerajaan Negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini”, katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha pada Selasa.


“Kita yakin dengan adanya autonomi ini, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di negeri ini. Dalam hal ini, para pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik tentang permasalahan rakyat di kawasan sendiri. Dengan itu kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat”.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM35 juta pada tahun 2022 bagi melaksanakan beberapa inisiatif dalam pendidikan untuk memperkukuhkan dan melahirkan modal insan negeri ini yang berilmu demi membentuk masa depan yang gemilang.


Katanya, antara inisiatif pendidikan ialah pemberian BUDI (Pendaftaran IPT Secara One Off), BISTARI (Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah), BAKTI (Bantuan Khas Tunai Peperiksaan), BAGUS (Bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)), AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah), BISBAH (Bantuan Ihsan Sekolah Sabah) dan BAIK (Bantuan Ihsan Komputer).


Beliau berkata, inisiatif-inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada seramai 41,590 pelajar dan 3,044 orang bayi di samping 1,500 buah sekolah dan 630 PIBG. Sementara pada tahun ini sebanyak RM43 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam bajet 2023 untuk tujuan yang sama.


Katanya, inisiatif ini berupa bantuan tunai pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bantuan peperiksaan, anugerah kecemerlangan, sumbangan peralatan sekolah, komputer riba dan bantuan kepada PIBG.


Hajiji berkata, inisiatif yang diberikan kerajaan itu jelas komitmen kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan peluang pendidikan inklusif untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka. Semua inisitaif itu terbukti memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan kurang berkemampuan dan B40.


Menurutnya, tahun ini dua lagi inisiatif bantuan pendidikan baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS). - (Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri)


シェア - Muktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan: Hajiji

SIMON BJさんをフォローして最新の投稿をチェックしよう!

フォロー

0 件のコメント

この投稿にコメントしよう!

この投稿にはまだコメントがありません。
ぜひあなたの声を聞かせてください。