1,500 wanita mangsa kanser pangkal rahim tiap tahun: Redonah


SIMON BJ2023/07/31 16:46
フォロー
1,500 wanita mangsa kanser pangkal rahim tiap tahun: Redonah

KOTA KINABALU: Seramai 1,500 wanita di Malaysia setiap tahun disahkan menjadi mangsa penyakit kanser pangkal rahim.


Kanser pangkal rahim juga dinyatakan sebagai kanser kedua yang paling kerap menyerang kaum wanita, khasnya selepas kanser payudara.


“Ini adalah satu kebimbangan dan ketakutan yang mana daripada jumlah ini, sebanyak enam peratus daripadanya tidak dapat diselamatkan, meninggal dunia kerana kanser pangkal rahim,” kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh wakil, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah DUN Likas, Halijah Din semasa Majlis Perasmian Projek Pendidikan Kesihatan Pap Smear Selamatkan Wanita di sini, Sabtu.


Menurut beliau, kanser pangkal rahim yang menyerang kaum wanita tidak mengira usia dan risiko lebih tinggi adalah kepada mereka yang mengamalkan gaya hidup bebas dan seks rambang.


“Penting untuk kita semua mengambil langkah pencegahan kanser pangkal rahim, dan caranya adalah dengan melakukan pemeriksaan pangkal rahim, atau lebih dikenali sebagai ujian pap smear.


“Ini adalah pendekatan terbaik untuk kita mengetahui tahap kesihatan pangkal rahim kita dan sebagai benteng pertama kita dalam usaha mencegah kanser ini.


“Dengan kaedah ini, sel dalam pangkal rahim yang berbentuk atau berpotensi menjadi kanser akan dikesan dan insyaAllah, pastinya langkah seterusnya yang wajar untuk dilakukan akan disarankan oleh doktor atau jururawat yang menjalankan pemeriksaan kepada kita,” katanya lagi.


Tambah beliau lagi, golongan wanita dari usia remaja hingga warga emas perlu sentiasa mengetahui dan sedar akan masalah kesihatan diri dan mengambil tindakan yang sesuai bagi mencegah daripada masalah yang lebih serius.


“Saya ingin semua kaum hawa, semua antara kita tidak kira warga emas atau anak muda, ayuh kita sama-sama pandang serius perkara berkaitan kanser yang sering menyerang kita kaum wanita.


“Kanser pangkal rahim, kanser payudara dan banyak lagi penyakit lain dan kerana itu, kita sebagai kaum wanita amat digalakkan untuk sentiasa peka dan mengambil serius keperluan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala khasnya yang melibatkan kanser yang sering menyerang wanita.


“Kita ambil langkah awal, jalani pemeriksaan pap smear dan tingkatkan kualiti hidup serta kesihatan kita kerana kita adalah tunggak kepada kesejahteraan keluarga dan komuniti masyarakat,” tambahnya.


Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa ujian pap smear secara berkala perlu dilakukan selama tiga tahun berturut-turut, setahun sekali.


“Jika keputusan kita negatif, alhamdulillah, kita ulang kembali ujian pap smear pada tiga tahun akan datang.


“Kanser adalah pembunuh dalam diam dan kita kadang kala tidak sedar akan kewujudan sel kanser dalam badan tanpa kita menjalani pemeriksaan kesihatan dan membuat ujian khas untuk mengesannya.


“Saya berharap semoga semua wanita dapat mengambil langkah bijak untuk kekal sihat dan cegah kanser dalam komuniti kita.


“Kepada kaum Adam, sokong dan dukunglah kaum Hawa untuk membuat pemeriksaan dan menjalani ujian pap smear kerana kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kita, khasnya Kementerian Kesihatan Malaysia sudah ada.


“Gunakan peluang dan kemudahan yang tersedua untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik-klinik berdekatan kawasan kita semua,” katanya lagi.


Program yang berlangsung selama sehari itu merupakan anjuran bersama pelatih jururawat kesihatan awam ambilan Mac 2023, Klinik Kesihatan Likas, Klinik Kesihatan Luyang, KKIA Pekan dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Likas.


Antara pengisian aktiviti sepanjang program berlangsung adalah acara jalan kaki 10 ribu langkah, ujian saringan kesihatan, pemeriksaan HPV DNA, pemeriksaan payudara, pemeriksaan gigi, program derma darah, cabutan tiket bertuah, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan pameran kesihatan.


Turut berlangsung adalah ceramah kesihatan berkenaan pap smear dan kanser serviks.


シェア - 1,500 wanita mangsa kanser pangkal rahim tiap tahun: Redonah

SIMON BJさんをフォローして最新の投稿をチェックしよう!

フォロー

0 件のコメント

この投稿にコメントしよう!

この投稿にはまだコメントがありません。
ぜひあなたの声を聞かせてください。